FOLLOWERS

Sekian, terima kasih.

...Assalamualaikum Dato’ Seri.

...

Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.

Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).

Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.

Tidaklah pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.

Izinkan saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!

Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.

Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI

Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?

JUDI

Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?

Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?

Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?

Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?

KEMISKINAN dan HARGA NAIK

Dato’ Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga kaya raya.

Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.

Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya adalah pengurusan yang menghancur!

Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu).

Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah hutang yuran persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.

Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.

Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.

SUARA RAKYAT

Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.

Dan menteri-menteri Dato’ Seri tanpa rasa bersalah menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.

Semuanya adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.

Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?

Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara adalah bercanggah pada sisi agama.

Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?

Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?

REFORMASI

Saya dan juga rakan-rakan adalah remaja muda yang punya sikap, punya pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.

Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.

Jika sampai masanya untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.

Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh tempat tertinggi di negara ini.

Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?

Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.

Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!

Sekian, terima kasih.

the truth



TeKsI... tEKsi





HUBUNGAN QIRAAT DAN FIQH




HUBUNGAN ILMU QIRAAT DAN ILMU FIQH : SUATU KAJIAN DALAM BAB MUNAKAHAT 
( PERKAHWINAN)

Ini tajuk TESIS di DQ.Alhamdullah 4.0.
Sila klik sini
Jemput membacanya =)


AYAT PERTAMA


229. Tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa Yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri Yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. oleh itu kalau kamu khuatir Bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

            Di riwayatkan oleh imam Hamzah, Abu Ja’far, dan Ya’kub membaca dengan dhammah. Hujahnya adalah berdasarkan firman Allah s.w.t   فان خفتم
Maka takut tersebut bukanlah pada mereka berdua ( suami dan isteri ) dan tidak dibaca  فان خافا . Manakala Baqi Qurra’ membaca dengan الا ان ياخافا   dan hujah mereka apa yang di bawa dalam tafsir kecuali takut oleh suami dan isteri di dalam melaksana hukum Allah dalam apa yang wajib bagi setiap dari mereka dalam melakukan terhadap pasanganya mengenai hak dan pergaulan.[1]
            Kesimpulan, Qiraat Imam  Hamzah berhujah denganya untuk meletakkan khuluk kepada sultan, maka Allah s.w.t telah meletakkan hukum khuluk itu terkait dengan pengetahuan sultan yang mana pasangan tersebut melampaui hudud Allah dengan derhaka atau sebarang penyelewengan yang membawa kepada keterpaksaan tanpa berlaku persetujuan terhadap khuluk tersebut. Makanya mentalak keduanya untuk sultan bersandarkan kepada Qiraat Imam Hamzah .
Ulama’ Nuhas menetapkan dalam i’rab Quran bahawa Qiraat ini tidak mewajibkan i’rab, lafaz dan makna kefahaman serta muafakat dengan al-Qurtubi dalam hal ini. Ia tidak bermakna tidak wajib, maka beliau telah mewajibkan dalam tiga perkara telah sah tawatirnya, muafakat dengan tulisanya (resam) dan muafakat dengan satu bentuk dari satu kaedah bahasa arab sahaja.  Perkara–perkara diatas ini juga adalah bersamaan dengan kata – kata yang ditakhlik oleh Ibnu Mujaddid dalam kitab as-Syatibi[2] dan al-Jazari[3] dalam an-Nasyar, wajiblah di rujuk pada Imam Hamzah dan juga dicari takrifnya supaya yang sesuai dengan pendapat jumhur ulama’ yang mengatakan khuluk tidak perlu kepada keputusan sultan.
Bentuk yang paling hampir yang paling hampir dengan dalil penunjuk atau fahaman dari sesuatu ayat pada isnad  يخافا  ialah untuk ganti nama ghaib ( ganti nama ketiga; dia, mereka) . Firman Allah itu di tujukan khilaf percakapan sebagai khilaf sebagaimana kepada hakim – hakim dan wasiat ( pengadil ) dalam urusan meskipun dia bukan hakim. Ia juga di namakan baik pergaulan dengan isteri dari ditinggalkan atau dibiarkan.
Wajib dinyatakan di sini bahawa khuluk tidak perlu kepada qadi untuk menjauhkanya.[4] Maka apabila pasangan suami isteri sepakat untuk khuluk iaitu hak qadi menerima atau menolaknya. Tetapi, adakah boleh qadi mengkhulukkan bagi pihak suami jika isteri meminta kepada suami untuk menolak khuluk yang dituntut isteri. Sesungguhnya Imam Hassan al-Basri, Sa’id bin Jubair, Ibnu Sirin  juga memilih hujah ini.
Mereka merujuk kepada dalil dari Qiraat Imam Hamzah, Abu Ja’far, dan Ya’kub. Demikian juga kepada hadis yang sah yang membawa kepada khuluk secara demikan kerana ia bukan merangkumi pengakuan atau persetujuan suami menjatuhkan khuluk secara demikian bahkan terdapat didalamnya hadis perintahkan suami supaya melaksanakan[5] ( khuluk. )[6]




 AYAT KEDUA

233. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya.

Di riwayatkan oleh Ibnu Kathir , Abu ‘Amru , dan Ya’kub membaca  dengan rufu’   ر . Manakala Baqun membaca dengan nasob    Ÿ pada ayat  ولاتضار   pada huruf  ر .
Sesungguhnya imam al-Makki dan Basriyun memberi makna jalan keluar dan adakah ini memberi makna majmu’ kejadian apa yang terjadi kerana bukanlah sifat seorang perempuan itu memudharatkan suami yang mentalaknya dengan melampau dalam meminta upah menyusu darinya kerana perlakuan sedemikian memudharatkan suaminya. Perbuatan ini dapat menegah dia dari mendapat mut’ah  dan memudharat anak yang disusunya. Atas alasan inilah maka ayat ini menunjukkan hukum kejadian dan apa yang terjadi menurut Qiraat tersebut.
Bagi Qurra’ yang mambaca dengan fathah , ia memberi makna sebagai larangan dan asalnya ada dua huruf ر. Apabila ر  pertama bertemu dengan  ر kedua maka ر pertama di masukkan kedalam ر kedua dan di fathahkan yang kedua kerana bertemu dua sukun. Dan di baca juga tanpa idgham oleh Hassan al-Basri , Ibnu Mas’ud  Umar al-Khattab dan ‘abban bin Uthman bin ‘Affan.[7]
Maka dalam bentuk ini , ayat tersebut mencukupi hukum taklifi dan tidak bermakna ayat yang tiada makna mengandungi makna taklif. Terdapat banyak perkataan khabar  di dalam al-Quran dan mengandungi taklif sebagai tambahan. Misalnya  ولاتظلمون ولاتظلمون  , ia memberi makna jangan kamu menzalimi dan jangan kamu di zalimi.
Kesimpulanya , tidak syak lagi bahawa makna larangan (nahi) dari memudharatkan ada dalam kedua-dua Qiraat ada dalam kedua-dua Qiraat berasaskan Qiraat nasob  adalah larangan semata-mata . Dalam Qiraat rufu’  adalah khabar  yang membawa maksud larang. Makna-makna ini sebenarnya sah dalam kedu-dua Qiraat itu. Tetapi Qiraat rufu’  menjadi bertambah dengan makna baru , iaitu penonjolan faktor kemanusiaan dalam diri seorang perempuan yang mana krisis penceraian menekannya ke arah membinasakan diri dan anaknya bagi memudharatkan suaminya. Maka ayat itu menceritakan bahawa itu bukanlah keadaan perempuan yang berakal lagi solehah. Sesungguhnya dua ayat tersebut tidak bertentangan bahkan saling melengkapi makna yang menunjuk matlamat-matlamatnya yang mengkagumkan.[8]

  AYAT KETIGA

236. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). iaitu: suami Yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya.

Di riwayatkan oleh Abu Ja’far, Hamzah , Kisai’, Khalaf, Ibnu Zakuan, dan  sukun [9]  pada kedua ayat   قدرة  pada huruf  د
Qiraat yang pertama membaca dengan sukun  kerana ikut sighah  binaan masdar takdir[10] dan di kuatkan mazhab ini dengan firman Allah قالت أودية بقدرها.  Dan kebanyakan ahli Nahu memilih bahawa kedua-duanya sah makna, begitukah di naqalkan oleh Qurra’[11] dari imam Kisai’ dan Abu Zaid.
Kesimpulanya, tidak di  dapati seorang ahli Tafsir yang di bacakan kepada mereka memberi isyarat kepada adanya sebarang hasil daripada perbezaan Qiraat tersebut. Sebagaimana yang dapat di lihat, di putuskan bahawa keduanya dua bahasa yang mempunyai satu makna.
Meskipun mereka tidak menyebut sebarang hasil, ia tidak menafikan wujud sebarang hasil atau kesan dari perbezaan. Qiraat. Jadi kita terimalah bahawa banyak [12] bacaan itu adalah kehendak dari yang Maha Esa. Itulah yang telah di kumpulkan dari dalil-dalil yang pelbagai sebagai kajian.
Qurra’ yang membaca  fathah menunjukkan kepada makna kaya dan mampu iaitu keatas orang kaya ke atas kadar kemampuanya dan keatas orang miskin sekadar kemampuanya.
Manakala Qurra’ yang membaca sukun memberi makna lain iaitu kedudukan. Maka makna keatas orang kaya dengan apa yang sesuai dengan kemampuan kedudukanya dan keatas orang miskin juga begitu. Ia dikuatkan dengan apa yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Sahih dan hadis ‘Aisyah radhiyallah ketika menyebut tentang apa yang di main oleh pengantin dan meriwayatkan ‘ maka buatlah mengikut kedudukan gadis sunti yang muda dengan mendengar hiburan’.
Pentalak di perintahkan supaya memberi mut’ah kepada perempuan yang di talak mengikut kadar kemampuan dan kekayanya. Kemudian patut di ketahui bahawa pemberian mut’ah mengikut tahap kedudukanya. Itulah kepatuhanya kepada hukum syara’ . [13]

 AYAT KEEMPAT

19. Wahai orang-orang Yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan Dengan jalan paksaan,

Di riwayatkan oleh Imam Hamzah dan Imam Kisai’ dengan membaca dhammah . Manakala Baqi’ Qurra’ mambaca dengan fathah. Manakala Baqi Qurra’ membaca dengan nasab pada ayat كرها   pada huruf ر .
Berkata Ibnu ‘Abbas bahawa bacaan  imam khilaf bermakna susah-payah. Ia bermaksud perbuatan manusia itu di benci seperti ayat ‘ aku benci dengan sebenci-bencinya’  . Abu A’mru berkat sesuatu yang tidak kau sukai.
Manakala bacaan Imam Baqi bermakna paksaan iaitu memaksanya. Ia bermaksud apa yang engkau di paksa ke atasnya dan ayat tersebut di kuatkan lagi dengan firman Allah  كتب عليكم القتال وهو كره لكم  . Imam Qurtubi menaqal dalam kitab ali-Jami’ lil Ahkam al-Quran ke dalam kedua –dua bahasa.[14]
Kesimpulanya haram mewaris perempuan secara paksa dan benci. Maka tidak halal memaksa janda menikah dengan sesiapa yang tidak dikehendakinya dan tidak halal juga buat begitu kepada perkahwinan yang tidak menyusahkanya walaupun tidak dipaksa untuk berkahwin . Demikianlah yang dikehendaki oleh ahli – ahli bahasa dalam membezakan fathah dan dhammah. Di riwayatkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, Nasai’ dari Ibnu ‘Abbas katanya ‘dulu  apabila seorang lelaki meninggal maka keluarganya berhak ambil keatas isterinya , jika mereka mahu dikahwinkan dan jika mereka dikahwinkan dengan sesiapa pun, maka mereka lebih berhak keatasnya dari keluarga perempuan itu sendiri. Maka turunlah ayat ini. Ibnu Jathir al – Tabari mengeluarkan hadis dengan sanad dari Abu Umamah dan Sahal bin Hanif  berkata ‘ ketika Abu Qais bin Aslaf meninggal anaknya mahu mengahwini isterinya.[15] Begitulah mereka dizaman jahiliyah. Maka turunlah ayat ini   أن ترثوالنساء كرها لايحل لكم
Para pentafsir berkata  penduduk Madinah ini dikala jahiliyah dan awal islam adalah apabila meninggal dunia seorang lelaki dan meninggalkan isteri datanglah anaknya yang bukan dari isteri itu atau kerabatnya melempar bajunya kepada perempuan itu bagi dirinya dan orang lain tidak boleh lagi meminangnya dan perempuan itu tidak boleh menolaknya pula.[16]





 AYAT KELIMA

19. Dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa Yang kamu telah berikan kepadaNya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji Yang nyata.

Di riwayatkan oleh Ibnu Kathir , Abu Bakar dengan bacaan fathah. Manakala Baqi Qurra’ membaca dengan kasrah pada ayat مبينة    pada huruf
ي.
Baqi’  Qurra’ mambaca  dengan ismi fa’il manakala Imam Khilaf
 Mambaca dengan  ismi maf’ul [17]   
            Maka dalam ayat ini Allah telah mengecualikan suatu keadaan. Harus menyusahkan , iaitu menyekat dan menyempitkan. Itu dalam keadaan melakukan kekejian yang nyata seperti zina , curi, derhaka, tidak taat dan seumpamanya yang di murkai pada syara’ dan adat. Maka dalam keadaan ini harus meyusahkan untuk mengambil balik apa yang ada pada isterinya. Di isyaratkan dalam kekejian itu nyata iaitu terang lagi thabit. Ini kerana bagi menegah menyusahkanya ( isteri ) semata- mata sangkaan disebabkan cemburu yang keterlaluan dari suami. Ia juga kerana kerana di khuatiri kegopohannya menghukum isteri yang tidak berdosa atau perempuan yang terpelihara, yang nanti menyebabkan lelaki terjebak dalam melakukan zalim pada waktu itu.
                    Kesimpulanya bacaan Imam Khilaf yang mambaca fathah maknanya terbuka lagi ternyata iaitu jelas keadaanya. Manakala Baqi Qurra’ yang mambaca kasrah bermakna pembuka lagi yang nyata. Dua Qiraat tersebut menunjukkan menyusahkan isteri harus apabila nampaknya padanya kekejian sama ada ternyata atau yang nyata.[18]






1.       AYAT KEENAM


34. Maka perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah Yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.

           Di riwayatkan oleh Abu Ja’far membaca dengan nasab pada kalimah lafaz jalalah ( الله)  Baqi Qurra’ membaca dengan rufu’.
            Menurut Qiraat jumhur, perempuan yang solehah itu taat pada panjagannya pada waktu ketiadaan suaminya dengan taufiq Allah dan menjaganya. Manjaganya di sini adalah majaz , kata kiasan kerana hakikat penjagaan sebenar adalah dari Allah dan Allah adalah sebaik-baik penjaga.[19]
              Ayat ini meliputu hakikat dan majaz pada waktu yang sama. Sebaik-baik tafsiran adalah berdasar sabda Rasullallah s.a.w ‘ mahukah aku khabarkan kepada kamu perkara paling baik yang disimpan oleh seseorang? Itulah perempuan yang solehah. Apabila dia dilihat dia di sukai dan apabila dia di suruh dia mentaati,  dan apabila suaminya tiada dia menjaga dirinya sendiri dan juga harta suaminya’.
            Kehendak Qiraat nasab ia bermakna mereka menjaga Allah iaitu menjaga suruhanNya dan tegahanNya. Penjagaanya pada waktu ketiadaan suaminya dengan memeliharaa keredhaan Allah. 
             Kesimpulanya Qiraat menyatakan bahawa penjaga sebenar adalah Allah dan perempuan solehah disuruh mencurahkan keupayaanya dalam menjaga suaminya semasa ketiadaanya dengan menjaga diri sendiri . Dan Qiraat kedua menyebut dengan erti perempuan solehah disuruh menjaga keredhaan Allah dan memastikan suruhanNya dan laranganNya dengan melaksanakan apa yang di suruh oleh suaminya semasa ketiadaanya. Demikianlah dua Qiraat sama sahaja. Qiraat pelbagai menunjukkan kehebatan dan keagonganya terhadap perempuan muslimah dalam menjaga ketika ketiadaan suaminya. [20]





 AYAT KETUJUH


31. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan.

                Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Amir, Syu’bah dan ‘Asim dan Abu Ja’far membaca dengan nasob, manakala Baqi Qurra’ membaca dengan kasrah pada ayat غير  pada huruf ر.[21]

            Qiraat Ibnu ‘A mir dan Syu’bah mengariskanya dalam dua bentuk iaitu :
• Pertama adalah pengecualian maka jadilah makna ayat (dan jaganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang bodoh kecuali yang mempunyai keinginan maka jangan menampakkan perhiasannya kepada mereka ). Itu adalah pengulangan kecuali istisna’ استسناء kembali kepada hukum asal dan ketika di baca ia berulang istisna’ dengan  الا))  dan disebut istisna’ dengan غير.
• Kedua adalah sebagai hal   maka jadilah makna dan janganlah nampakkan perhiasanlah mereka kecuali kepada orang bodoh sedang keadaan mereka itutidak punya keinginan terhadap wanita.

            Qiraat lain menjurus kepada غير sebagai sifat dan maknanya jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang-orang bodoh yang tiada keinginan mereka terhadap wanita. Masalah yang terjadi dalam Qiraat ini adalah hanya menjadi sifat kepada ismi nakiroh seperti dalam firmanNya :  
 واد غير ذي زرعزز
            Ahli Mufassirin menjadikan ayat ini sebagai pembuktian dalam masalah khunsa. Ia dikeluarkan oleh Muslim  Abu Daud dan lain - lain dari Hisham bin  Arurah dari bapanya dari A’isyah telah berkata ‘ seorang lelaki masuk menemani isteri – isteri nabi, mereka menganggapnya tiada keinginan. Kemudian  datang  nabi dan baginda menyifatkan perempuan seraya berkata “ apabila mara kedepan dengan empat dan apabila mundur kebelakang dengan lapan” maka Rasullah s.a.w bersabda “ ketahuilah aku tidak tahu ini dan ketahui disini dan janganlah mereka masuk menemani kamu”.  Lalu baginda mengeluarkanya dari rumah.
            Riwayat yang sempurna seperti dalam al-Bukhari dari Hisham bin Urarah dari bapanya dari Zainab binti Abu Salamah dari ibunya r.a berkata “ nabi masuk menemani saya sedang ada disisi, aku dengar baginda berkata kepada Abdullah bin Umaiyah” “ ya Abdullah adakah kau tahu sekiranya Allah akan membuka Taif esok dan hendaklah engkau hati – hati dengan anak yang malang, sesungguhnya dia akan kedepan dengan empatdan akan mundur dengan empat” lantas Rasullah s.a.w bersabda “ Janganlah mereka itu masuk bersama kamu perempuan” berkata Ibnu Uyainah dan Ibnu Juraij  “khunsa itu menghairankan”.[22]           
            Kesimpulanya, tidak ada khilaf antara dua Qiraat . Dua – duanya mengarahkan kepada wajib di tegah oleh orang bodoh yang ada keinginan dari masuk menemui wanita dan dari yang boleh dia melihat perhiasan mereka. Jadi keizinan yang pertama di pangkal ayat bagi orang bodoh beredar dalam majlis wanita. Apabila terdedah perhiasan mereka dikaitkan orang bodoh itu dan janganlah ada keinginan.
            Qiraat nasab menunjukkan pertamanya kepada wajib di tegah mereka dari bergaul dengan wanita yang keadaan mereka begitu ingin melihat wanita. Mungkin dapat di faham keizinan bercampur gaul dengan wanita boleh apabila tidak di dapati keinginan tersebut kepada diri mereka dalam pada sesuatu masa.[23]



[1] Hujah Qiraat li Abi Zar’ah, 135
[2] Taqrib Nasyar Ibnu Jazari, 96
[3] Sab’ah fi qiraat li Ibnu Majid, 182
[4] Jami’ sahih Bukhari, Kitab Talak 12, bab khuluk
[5] AL-Qiraat  aL-Mutawatirah Wa- Atharuha Fi aL- Resam  aL-Qur’ani Wa aL- Ahkam, aL- Syar’iah
[6] Jami’ sahih li Imam Bukhari, Kitab Talak, Bab 12, Khuluk, Bilangan hadis 5273, Fathu Bari’ bi Fathah Bukhari 395/9


[7] Mu’jam Qiraat Quraniah 178/1
[8] AL-Qiraat  aL-Mutawatirah Wa- Atharuha Fi aL- Resam  aL-Qur’ani Wa aL- Ahkam, aL- Syar’iah


[9] Taqrib Nasyar fi Qiraat ‘Asyar, 97, ibarat taiyyibah
[10] Hujah Qiraat, 137
[11] Hujah Qiraat, 137
[12] Bukhari fi Sahih, Kitab Nikah, Bab 82, Fathu Bari’ 255/9
[13] AL-Qiraat  aL-Mutawatirah Wa- Atharuha Fi aL- Resam  aL-Qur’ani Wa aL- Ahkam, aL- Syar’iah


[14] Jami’ Ahkam Quran lil Qurtubi, Darul Kitab al-Arabi, 95/5
[15] Ibid, 95/5
[16] AL-Qiraat  aL-Mutawatirah Wa- Atharuha Fi aL- Resam  aL-Qur’ani Wa aL- Ahkam, aL- Syar’iah


[17] Hujah Qiraat,197
[18] AL-Qiraat  aL-Mutawatirah Wa- Atharuha Fi aL- Resam  aL-Qur’ani Wa aL- Ahkam, aL- Syar’iah


[19] Taqrib Nasyar fi Qiraat ‘Asyar , 105
[20] AL-Qiraat  aL-Mutawatirah Wa- Atharuha Fi aL- Resam  aL-Qur’ani Wa aL- Ahkam, aL- Syar’iah


[21] Taqrib Nasyar fi Qiraat ‘Asyar, 149
[22] Imam Bukhari fi Jami’ Sahih, Kitab Mughari, bab 56, Fathu Bari’ bi Syarah Sahih Bukhari 43/8, Bil Hadis 4324.
[23] AL-Qiraat  aL-Mutawatirah Wa- Atharuha Fi aL- Resam  aL-Qur’ani Wa aL- Ahkam, aL- Syar’iah




Blogger Template by Blogcrowds